Tuesday 15 November 2011

Kaji semula guru bekerja 9 jam - NGO


KUALA LUMPUR 14 Nov. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) agar projek rintis sistem waktu kerja sembilan jam bagi guru di empat negeri mulai Januari ini dikaji semula.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, kajian itu perlu mengambil kira beban yang ditampung dan elaun tambahan kepada guru sekiranya mahu melaksanakan projek rintis itu.



"Seharusnya kerajaan mencari jalan untuk mengurangkan beban guru. Contohnya, mewujudkan kakitangan sokongan iaitu pembantu pentadbiran agar dapat membuat kerja-kerja tersebut.
"Sebelum ini pun ada kajian mengenai beban guru oleh kementerian beberapa tahun lalu, namun hasil belum dihebahkan lagi. Saya minta agar kajian tersebut didedahkan segera," katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia kelmarin bahawa kira-kira 5,000 guru di 104 sekolah akan menjadi perintis sistem waktu kerja sembilan jam mulai Januari ini.
Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, pihaknya difahamkan sistem waktu kerja baru itu akan dilaksanakan di Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak dengan tempoh percubaan selama enam bulan.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Mohamed Che Noh pula menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya masa kerja guru terlalu pendek iaitu setengah hari berbanding penjawat awam lain.
"Dalam konteks perguruan banyak aspek lain yang orang ramai perlu faham. Contohnya, guru mesti menyediakan rancangan pembelajaran harian dan mingguan, menanda kertas peperiksaan dan menyelia aktiviti di luar kelas.
"Jika dilaksanakan bererti masa sebenar guru akan menjadi sehingga 12 jam, bukannya sembilan, apabila dicampur dengan aktiviti sekolah yang lain. Masakan aktiviti kokurikulum diadakan pada hujung minggu. Kalau begitu maknanya guru tiada cuti," jelasnya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad meminta semua pihak memahami tugas seorang guru yang berbeza dengan pekerja pejabat.
"Sekiranya kementerian tetap melaksanakan projek rintis itu, sewajarnya guru terlibat diberi elaun khusus sesuai dengan tambahan beban yang dipikul," ujarnya.
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom pula berkata, cadangan waktu tugas guru mengikut pejabat telah timbul sejak beberapa tahun lalu.
"Mungkin kementerian telah membuat kajian mengenai sistem ini dan seterusnya melaksanakan projek rintis agar mendapat maklum balas daripada guru dan mengkaji lebih mendalam tahap keberkesanan serta mengetahui kesesuaiannya," jelas bekas Ketua Pengarah Pelajaran itu.
-Utusan (15/11/2011)

No comments:

Post a Comment